Cari Blog Ini

Isnin, 29 April 2013

Coretan Seorang Musafir Ke MRSM TGB

Coretan Perjuangan MRSM Tun Ghafar Baba

Alhamdulillah, ana rafa’kan kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, ana dapat lagi bernafas pada hari ini untuk memperjuangkan syiar dan dakwah Islamiah di muka bumi. Hari ini ana ingin berkongsi mengenai Bumi Tarbiah MRSM Tun Ghafar Baba yang telah menggapai kecemerlangan dalam keputusan SPM bagi tahun 2012 serta merangkumi kejayaan dalam aspek duniawi mahupun ukhrawi. Apakah aktiviti yang dilakukan dalam maktab ini agak-agaknya, kan? Hmm. Jadi, ana ingin mengupas isu ini secara keseluruhan dan mendalam.
Pertama, guru – guru yang amat ana hormati dan sayangi. Mereka amat berdedikasi serta memberi komitmen yang tinggi dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar. Semua guru akan bekerjasama untuk meningkatkan prestasi pelajar dengan pelbagai cara yang efektif. Antaranya dengan menubuhkan Kelab Guru Muda [pelajar yang mendapat markah tertinggi untuk sesuatu subjek] dan Kelab ‘’Phikappa Phi’’ [pelajar yang mendapat pointer 3.80 keatas] yang sepenuhnya dianggotai oleh pelajar. Setiap hari Selasa dan Khamis pagi pula, ‘roll call’ akan digantikan dengan Kelas Kurnia untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam sesuatu subjek yang akan dikendalikan oleh mentor yakni pelajar yang terpilih oleh guru subjek. Ada juga guru subjek tertentu yang memberi penghargaan kepada pelajar yang mencapai keputusan yang cemerlang. Contohnya, bagi subjek kimia di maktab kami, pelajar yang cemerlang secara berterusan dalam peperiksaan kimia diberikan satu tag nama iaitu ‘’Young Chemist’’ yang wajib dipakai. Mereka sekaligus menjadi tempat rujukan pelajar yang lain semasa pembelajaran di luar kelas. Hal ini amat memberi manfaat kepada semua pelajar di maktab kami. Ada juga kelas tambahan yang diadakan oleh guru pada waktu petang dan setiap Sabtu pagi yang wajib dihadiri oleh semua pelajar. Selain itu, setiap malam semasa prep, kami akan diasingkan mengikut jantina. Jadi, ikhtilat antara lelaki dan perempuan akan lebih terjaga dalam proses menuntut ilmu. BWP exco akademik pula, dengan bantuan pihak kaunselor, akan melaksanakan satu konvensyen akademik untuk mendengar cadangan daripada pihak pelajar kepada guru untuk meningkatkan prestasi akademik agar satu batch dapat mencapai kecemerlangan secara berjemaah. Dalam konvensyen ini, persetujuan antara guru dan murid dapat sama-sama dikecapi demi kebaikan kedua-dua belah pihak dalam proses pengajaran dan pembelajaran kelak.
Kedua, badan kepimpinan pelajar yang mementingkan akademik, sahsiah dan rohani dalam tampuk pemerintahan mereka. Ada 5 badan kepimpinan pelajar dan 2 badan bukan kerajaan yang memainkan peranan yang amat penting dalam maktab kami. Badan Wakil Pelajar kami akan berusaha mengekalkan MRSM Tun Ghafar Baba sebagai Bumi Tarbiah dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang mengikut syariat Islam serta membacakan slogan batch [WE MARK FOR NUMBER ONE] termasuk ikrar SPM setiap pagi semasa ‘’roll call’’. Lembaga Disiplin Pelajar seperti biasa akan menjadi ‘’polis’’ dalam maktab dengan melakukan pengumuman ‘’clear block’’ di sekretriat setiap pagi selepas aktiviti surau dan membuat pemeriksaan kepada pelajar. Contoh pemeriksaan, bagi pelajar perempuan, pemeriksaan pemakaian kain dalam, sanggul dan tudung. Bagi pelajar lelaki pula, pemeriksaan name tag, rambut dan pemakaian. Semua pemeriksaan ini dijalankan pada setiap hari akademik selepas ‘’roll call’’. BADAR pula, setiap pagi, sebelum azan Subuh di surau, ahli jawatankuasa mereka akan membuka surah – surah tertentu ataupun lagu nasyid untuk membangunkan pelajar dio sekretriat. Selepas azan, pengumuman solat Subuh berjemaah akan dilakukan dan kehadiran Subuh berjemaah akan diambil selepas aktiviti di surau. Semasa ‘’roll call’’ pagi, ahli BADAR akan mengetuai bacaan Asma ul Husna dan berdoa [pelajar akan berpusing menghadap kiblat secara automatik semasa berdoa]. Pembacaan sepotong hadis selepas berdoa juga dilakukan oleh BADAR setiap hari untuk santapan rohani pelajar. PRS akan memainkan peranan mengetuai nyanyian ‘’Warisan’’ dan meningkatkan motivasi pelajar dengan memberi mutiara kata kepada kami semua. EMC juga akan melibatkan diri dengan memperkenalkan perkataan – perkataan yang baru kepada pelajar agar dapat digunakan dalam peperiksaan. Ahli EMC amat menggalakkan pelajar berbahasa Inggeris dan di maktab kami, semasa English Day atau English Week, kami wajib bercakap dengan menggunakan bahasa Inggeris termasuk segala pengumuman juga dalam bahasa Inggeris. Untuk Majlis Syura’ dan Nuqaba’ pula merupakan satu NGO [badan bukan kerajaan] dalam maktab kami yang menguruskan segala aktiviti usrah dan Kongres Pendakwah Muda untuk MRSM seMalaysia. Akhir sekali ialah Al-Muhajirat dan Majlis Muzakarah Mujahidah yakni satu NGO di bawah kawalan Exco Puteri BWP yang hanya dianggotai oleh 10 pelajar perempuan untuk menyelesaikan masalah kaum Hawa terutamanya pelajar yang bermasalah, membuat kolaborasi dengan pihak luar bagi program tertentu dalam maktab dan melatih peribadi muslimah serta seorang daie. Di maktab kami juga ada Global Leaders yang membantu dalam aspek – aspek tertentu seperti menyemarakkan sifat kepimpinan Islamik dalam jiwa pelajar dan sebagainya.
Ketiga, budaya yang diterapkan di MRSM Tun Ghafar Baba amat menarik perhatian ramai antaranya ialah budaya mengamalkan sunnah. Contohnya, puasa pada hari Isnin dan Khamis, setiap malam Jumaat, pelajar digalakkan memakai jubah, celak, serban serta melakukan sunnah – sunnah yang lain. Setiap petang, sunnah yang selalu dilakukan selepas Asar ialah liqa’ ilmu, majlis ilmu dan tazkirah pendek Asar oleh ahli BADAR. Selalunya, semasa menunggu atau menyambut tetamu, kami akan berselawat ataupun berqasidah beramai – ramai. Istilah bertepuk tangan, kami cuba elakkan dengan memperbanyakkan berselawat. Budaya menyayangi guru juga dilaksanakan di maktab kami. Tamsilnya, selepas kelas, kami akan mengucapkan ‘’TERIMA KASIH, CIKGU’’, ‘’HALALKAN ILMU KAMI, CIKGU’’, ‘’I LOVE YOU TEACHER’’ dan ‘’KAMI SAYANG CIKGU!’’ beramai-beramai diketuai oleh ketua kelas masing-masing. Budaya kerjasama[1 MRSMTGB, 1 Batch], mendengar dan memberi salam juga diterapkan dalam kalangan pelajar di MRSM Tun Ghafar Baba ini.
Keempat, suasana asrama yang baik. Untuk pengetahuan semua, setiap hari Ahad pagi, asrama kami akan mengadakan satu program rasmi yang digelar ‘’Inspection’’. Butiran program ini adalah seperti berikut:
  • Bermula pada 9.00 am [Selepas pembersihan blok asrama dan bilik secara menyeluruh yang dilakukan selepas aktiviti surau]
  • Badan Kepimpinan Pelajar akan membuat pemeriksaan kebersihan setiap bilik yang merangkumi aspek:
    • Dalam loker [pakaian kemas dan tersusun]
    • Atas loker [tiada debu dan barang tersusun]
    • Tingkap dan meja studi [tiada debu dan buku tersusun]
    • Kipas dan partition [tiada debu]
    • Lantai dan tong sampah [tiada sampah]
    • Bawah katil [dikosongkan]
    • Katil [ditegangkan dan ada buku peraturan asrama atas katil dll]
  • Pemeriksaan blok merangkumi aspek:
    • Tandas
    • Koridor
    • Bilik studi dan iron
    • Dataran
    • Ampaian
    • Persekitaran blok
    • Tong sampah besar
  • Selepas pemeriksaan, aktiviti yang diadakan:
    • Tazkirah
    • Persembahan blok
    • Pengumuman markah
    • Muhasabah diri
Pada hemat penulis, program ini amat memberi manfaat kepada pelajar kerana keadaan asrama sentiasa dalam keadaan yang bersih. Tambahan pula, kontemporari ini, setiap MRSM mengamalkan 5S. Seterusnya, dalam asrama kami, pada setiap malam, majlis ta’lim dijalankan bermula pukul 11.15pm. Dalam majlis ini, pelajar akan membaca Surah Al – Mulk, doa – doa tertentu, memberi tazkirah pendek dan pengumuman serta peringatan kepada pelajar.
Kelima, organisasi di surau atau yang berkaitan dengan hal – hal agama. Salah satu perkara yang menjadi kebiasaan untuk pelajar MRSM Tun Ghafar Baba ialah program mini ulul albab, pembacaan Surah Al – Kahfi pada malam Jumaat dan penghafalan 10 hadis pendek. Pada masa yang sama, program ‘’Kempen Tutup Aurat’’, program Jana Taqwa setiap malam Ahad, solat sunat selepas solat Maghrib berjemaah [Hajat, Rawatib, Taubat, Qiamullail] dan Fardu Ain [muslimat sahaja] juga sering dilaksanakan di surau kami. Majlis Tilawah Al – Quran, pertandingan bercerita sirah Rasulullah SAW dan pertandingan hafazan juga diadakan di maktab kami dan mendapat sambutan yang positif daripada pelajar dan guru.
Keenam, pemikiran secara global. Pelajar – pelajar di MRSM Tun Ghafar Baba seringkali terlibat dengan pertandingan di luar negara seperti I-SWEEP, INESP dan lain - lain. Jarang sekali maktab kami pulang ke tanah air tanpa memenangi apa – apa. Ada yang bertanya, bagaimana pelajar maktab ini mendapat idea yang begitu bernas? Sebenarnya, segala idea yang dibentangkan hasil daripada pemikiran kritis dan terbuka pelajar, guru yang amat kreatif serta kolaborasi dengan para pensyarah di universiti – universiti tempatan seperti UNIMAS, UKM dan UM. Oleh sebab ramai pelajar yang amat berminat untuk mewakili Malaysia dalam projek sains, terbinanya satu pertubuhan yang khusus untuk pelajar yang membuat tesis berkenaan dengan kajian saintifik yakni GILT [ Global I-Lead Team].
Akhir sekali, tarbiyyah jasadiah yakni bahagian sukan. Kami mengamalkan ‘’PLAY HARD, STUDY SMART’’. Selalunya, kami akan bermula beriadah selepas tazkirah pendek di surau. Pembacaan doa sebelum bermain akan dilaksanakan oleh ketua agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang latihan ataupun beriadah. Bergerak dalam satu jemaah sukan amat memerlukan ikatan silaturrahim yang erat, jadi kami memupuk ikatan tersebut dengan mengadakan usrah kecil – kecilan semasa bermain.
Sebagai tambahan untuk para pembaca sekalian, perkara yang amat ana kagumi di MRSM Tun Ghafar Baba ini yakni:
  • Keberanian para pelajar untuk tampil kehadapan dengan penuh keyakinan tanpa rasa malu
  • Kewibawaan TPHEP yang selalu turun padang serta menyokong segala aktiviti rohani dan warden asrama yang tidak jemu menasihati pelajar serta membangunkan pelajar untuk solat Subuh berjemaah dengan menggunakan hon motosikal dan siren
  • Amalan doa Dhuha dan doa Rabitah dalam kalangan pelajar
  • Semangat perkongsian ilmu kepada rakan dan mentoring dalam kalangan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan
  • Mendahulukan jemaah daripada persendirian
  • Jadual waktu sekolah yang sistematik serta tidak membebankan pelajar
Ana ingin menamatkan coretan ini dengan satu ayat yakni, Surah Muhammad, ayat 7:
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Ayat ini amat berkait rapat dengan segala kecemerlangan dan kejayaan yang telah dicapai di Bumi Tarbiyyah MRSM Tun Ghafar Baba ini. Resipi yang sebenar ialah bergantung kepada pegangan dan pelaksanaan syariat Islam oleh pelajar itu sendiri. Sejujurnya ana mengatakan bahawa pelajar di maktab kami amat mementingkan Ad-Din dalam segenap aspek kehidupan. Kesimpulan yang dapat disimpulkan oleh ana, ajaran agama didahulukan, pencapaian akademik diutamakan.
Maafkan ana jika terkasar bahasa dan mohon perbetulkan jika ada silap dan salah dalam kajian ana serta perkongsian ilmu yang diberi. Sesungguhnya, ana jauh masih jahil lagi. Sekian dan salam ukhuwwah fillah daripada ana. Wallahu’alam Bisawwab. Assalamu’alaikum wbt.
Terima Kasih Anak Didikku...

Atrisya semoga Allah Merahmati perjuanganmu.. 

3 ulasan:

  1. Seronoknya jika ana juga menjadi warga MRSM TGB. Ana berharap Allah memakbulkan doa' ana. ana sudah memilih MRSM Langkawi sebagai pilihan, tapi hati saya inginkan MRSM TGB.

    BalasPadam
  2. ana mohon kisas.mmg minat sangat pada bumi wakafan tu tapi tak berjaya diterima masuk.Ternyata setiap kejadian mengandung hikmah.ana berjaya diterima ke bumi tarbiyah ini.InsyaAllah ana akan berusaha semampu mungkin untuk mengumpuL ilmu duniawi dan ukhrawi.. rezeki Allah itu pasti

    BalasPadam
  3. Ana form3. Mrsm Tgb ialah impian ana since ana berada di Kolej Tunku Kurshiah semasa form1. Doakan ana dapat capai impian murni ni :)

    BalasPadam