Cari Blog Ini

Isnin, 29 April 2013

Coretan Seorang Musafir Ke MRSM TGB

Coretan Perjuangan MRSM Tun Ghafar Baba

Alhamdulillah, ana rafa’kan kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, ana dapat lagi bernafas pada hari ini untuk memperjuangkan syiar dan dakwah Islamiah di muka bumi. Hari ini ana ingin berkongsi mengenai Bumi Tarbiah MRSM Tun Ghafar Baba yang telah menggapai kecemerlangan dalam keputusan SPM bagi tahun 2012 serta merangkumi kejayaan dalam aspek duniawi mahupun ukhrawi. Apakah aktiviti yang dilakukan dalam maktab ini agak-agaknya, kan? Hmm. Jadi, ana ingin mengupas isu ini secara keseluruhan dan mendalam.
Pertama, guru – guru yang amat ana hormati dan sayangi. Mereka amat berdedikasi serta memberi komitmen yang tinggi dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar. Semua guru akan bekerjasama untuk meningkatkan prestasi pelajar dengan pelbagai cara yang efektif. Antaranya dengan menubuhkan Kelab Guru Muda [pelajar yang mendapat markah tertinggi untuk sesuatu subjek] dan Kelab ‘’Phikappa Phi’’ [pelajar yang mendapat pointer 3.80 keatas] yang sepenuhnya dianggotai oleh pelajar. Setiap hari Selasa dan Khamis pagi pula, ‘roll call’ akan digantikan dengan Kelas Kurnia untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam sesuatu subjek yang akan dikendalikan oleh mentor yakni pelajar yang terpilih oleh guru subjek. Ada juga guru subjek tertentu yang memberi penghargaan kepada pelajar yang mencapai keputusan yang cemerlang. Contohnya, bagi subjek kimia di maktab kami, pelajar yang cemerlang secara berterusan dalam peperiksaan kimia diberikan satu tag nama iaitu ‘’Young Chemist’’ yang wajib dipakai. Mereka sekaligus menjadi tempat rujukan pelajar yang lain semasa pembelajaran di luar kelas. Hal ini amat memberi manfaat kepada semua pelajar di maktab kami. Ada juga kelas tambahan yang diadakan oleh guru pada waktu petang dan setiap Sabtu pagi yang wajib dihadiri oleh semua pelajar. Selain itu, setiap malam semasa prep, kami akan diasingkan mengikut jantina. Jadi, ikhtilat antara lelaki dan perempuan akan lebih terjaga dalam proses menuntut ilmu. BWP exco akademik pula, dengan bantuan pihak kaunselor, akan melaksanakan satu konvensyen akademik untuk mendengar cadangan daripada pihak pelajar kepada guru untuk meningkatkan prestasi akademik agar satu batch dapat mencapai kecemerlangan secara berjemaah. Dalam konvensyen ini, persetujuan antara guru dan murid dapat sama-sama dikecapi demi kebaikan kedua-dua belah pihak dalam proses pengajaran dan pembelajaran kelak.
Kedua, badan kepimpinan pelajar yang mementingkan akademik, sahsiah dan rohani dalam tampuk pemerintahan mereka. Ada 5 badan kepimpinan pelajar dan 2 badan bukan kerajaan yang memainkan peranan yang amat penting dalam maktab kami. Badan Wakil Pelajar kami akan berusaha mengekalkan MRSM Tun Ghafar Baba sebagai Bumi Tarbiah dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang mengikut syariat Islam serta membacakan slogan batch [WE MARK FOR NUMBER ONE] termasuk ikrar SPM setiap pagi semasa ‘’roll call’’. Lembaga Disiplin Pelajar seperti biasa akan menjadi ‘’polis’’ dalam maktab dengan melakukan pengumuman ‘’clear block’’ di sekretriat setiap pagi selepas aktiviti surau dan membuat pemeriksaan kepada pelajar. Contoh pemeriksaan, bagi pelajar perempuan, pemeriksaan pemakaian kain dalam, sanggul dan tudung. Bagi pelajar lelaki pula, pemeriksaan name tag, rambut dan pemakaian. Semua pemeriksaan ini dijalankan pada setiap hari akademik selepas ‘’roll call’’. BADAR pula, setiap pagi, sebelum azan Subuh di surau, ahli jawatankuasa mereka akan membuka surah – surah tertentu ataupun lagu nasyid untuk membangunkan pelajar dio sekretriat. Selepas azan, pengumuman solat Subuh berjemaah akan dilakukan dan kehadiran Subuh berjemaah akan diambil selepas aktiviti di surau. Semasa ‘’roll call’’ pagi, ahli BADAR akan mengetuai bacaan Asma ul Husna dan berdoa [pelajar akan berpusing menghadap kiblat secara automatik semasa berdoa]. Pembacaan sepotong hadis selepas berdoa juga dilakukan oleh BADAR setiap hari untuk santapan rohani pelajar. PRS akan memainkan peranan mengetuai nyanyian ‘’Warisan’’ dan meningkatkan motivasi pelajar dengan memberi mutiara kata kepada kami semua. EMC juga akan melibatkan diri dengan memperkenalkan perkataan – perkataan yang baru kepada pelajar agar dapat digunakan dalam peperiksaan. Ahli EMC amat menggalakkan pelajar berbahasa Inggeris dan di maktab kami, semasa English Day atau English Week, kami wajib bercakap dengan menggunakan bahasa Inggeris termasuk segala pengumuman juga dalam bahasa Inggeris. Untuk Majlis Syura’ dan Nuqaba’ pula merupakan satu NGO [badan bukan kerajaan] dalam maktab kami yang menguruskan segala aktiviti usrah dan Kongres Pendakwah Muda untuk MRSM seMalaysia. Akhir sekali ialah Al-Muhajirat dan Majlis Muzakarah Mujahidah yakni satu NGO di bawah kawalan Exco Puteri BWP yang hanya dianggotai oleh 10 pelajar perempuan untuk menyelesaikan masalah kaum Hawa terutamanya pelajar yang bermasalah, membuat kolaborasi dengan pihak luar bagi program tertentu dalam maktab dan melatih peribadi muslimah serta seorang daie. Di maktab kami juga ada Global Leaders yang membantu dalam aspek – aspek tertentu seperti menyemarakkan sifat kepimpinan Islamik dalam jiwa pelajar dan sebagainya.
Ketiga, budaya yang diterapkan di MRSM Tun Ghafar Baba amat menarik perhatian ramai antaranya ialah budaya mengamalkan sunnah. Contohnya, puasa pada hari Isnin dan Khamis, setiap malam Jumaat, pelajar digalakkan memakai jubah, celak, serban serta melakukan sunnah – sunnah yang lain. Setiap petang, sunnah yang selalu dilakukan selepas Asar ialah liqa’ ilmu, majlis ilmu dan tazkirah pendek Asar oleh ahli BADAR. Selalunya, semasa menunggu atau menyambut tetamu, kami akan berselawat ataupun berqasidah beramai – ramai. Istilah bertepuk tangan, kami cuba elakkan dengan memperbanyakkan berselawat. Budaya menyayangi guru juga dilaksanakan di maktab kami. Tamsilnya, selepas kelas, kami akan mengucapkan ‘’TERIMA KASIH, CIKGU’’, ‘’HALALKAN ILMU KAMI, CIKGU’’, ‘’I LOVE YOU TEACHER’’ dan ‘’KAMI SAYANG CIKGU!’’ beramai-beramai diketuai oleh ketua kelas masing-masing. Budaya kerjasama[1 MRSMTGB, 1 Batch], mendengar dan memberi salam juga diterapkan dalam kalangan pelajar di MRSM Tun Ghafar Baba ini.
Keempat, suasana asrama yang baik. Untuk pengetahuan semua, setiap hari Ahad pagi, asrama kami akan mengadakan satu program rasmi yang digelar ‘’Inspection’’. Butiran program ini adalah seperti berikut:
  • Bermula pada 9.00 am [Selepas pembersihan blok asrama dan bilik secara menyeluruh yang dilakukan selepas aktiviti surau]
  • Badan Kepimpinan Pelajar akan membuat pemeriksaan kebersihan setiap bilik yang merangkumi aspek:
    • Dalam loker [pakaian kemas dan tersusun]
    • Atas loker [tiada debu dan barang tersusun]
    • Tingkap dan meja studi [tiada debu dan buku tersusun]
    • Kipas dan partition [tiada debu]
    • Lantai dan tong sampah [tiada sampah]
    • Bawah katil [dikosongkan]
    • Katil [ditegangkan dan ada buku peraturan asrama atas katil dll]
  • Pemeriksaan blok merangkumi aspek:
    • Tandas
    • Koridor
    • Bilik studi dan iron
    • Dataran
    • Ampaian
    • Persekitaran blok
    • Tong sampah besar
  • Selepas pemeriksaan, aktiviti yang diadakan:
    • Tazkirah
    • Persembahan blok
    • Pengumuman markah
    • Muhasabah diri
Pada hemat penulis, program ini amat memberi manfaat kepada pelajar kerana keadaan asrama sentiasa dalam keadaan yang bersih. Tambahan pula, kontemporari ini, setiap MRSM mengamalkan 5S. Seterusnya, dalam asrama kami, pada setiap malam, majlis ta’lim dijalankan bermula pukul 11.15pm. Dalam majlis ini, pelajar akan membaca Surah Al – Mulk, doa – doa tertentu, memberi tazkirah pendek dan pengumuman serta peringatan kepada pelajar.
Kelima, organisasi di surau atau yang berkaitan dengan hal – hal agama. Salah satu perkara yang menjadi kebiasaan untuk pelajar MRSM Tun Ghafar Baba ialah program mini ulul albab, pembacaan Surah Al – Kahfi pada malam Jumaat dan penghafalan 10 hadis pendek. Pada masa yang sama, program ‘’Kempen Tutup Aurat’’, program Jana Taqwa setiap malam Ahad, solat sunat selepas solat Maghrib berjemaah [Hajat, Rawatib, Taubat, Qiamullail] dan Fardu Ain [muslimat sahaja] juga sering dilaksanakan di surau kami. Majlis Tilawah Al – Quran, pertandingan bercerita sirah Rasulullah SAW dan pertandingan hafazan juga diadakan di maktab kami dan mendapat sambutan yang positif daripada pelajar dan guru.
Keenam, pemikiran secara global. Pelajar – pelajar di MRSM Tun Ghafar Baba seringkali terlibat dengan pertandingan di luar negara seperti I-SWEEP, INESP dan lain - lain. Jarang sekali maktab kami pulang ke tanah air tanpa memenangi apa – apa. Ada yang bertanya, bagaimana pelajar maktab ini mendapat idea yang begitu bernas? Sebenarnya, segala idea yang dibentangkan hasil daripada pemikiran kritis dan terbuka pelajar, guru yang amat kreatif serta kolaborasi dengan para pensyarah di universiti – universiti tempatan seperti UNIMAS, UKM dan UM. Oleh sebab ramai pelajar yang amat berminat untuk mewakili Malaysia dalam projek sains, terbinanya satu pertubuhan yang khusus untuk pelajar yang membuat tesis berkenaan dengan kajian saintifik yakni GILT [ Global I-Lead Team].
Akhir sekali, tarbiyyah jasadiah yakni bahagian sukan. Kami mengamalkan ‘’PLAY HARD, STUDY SMART’’. Selalunya, kami akan bermula beriadah selepas tazkirah pendek di surau. Pembacaan doa sebelum bermain akan dilaksanakan oleh ketua agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang latihan ataupun beriadah. Bergerak dalam satu jemaah sukan amat memerlukan ikatan silaturrahim yang erat, jadi kami memupuk ikatan tersebut dengan mengadakan usrah kecil – kecilan semasa bermain.
Sebagai tambahan untuk para pembaca sekalian, perkara yang amat ana kagumi di MRSM Tun Ghafar Baba ini yakni:
  • Keberanian para pelajar untuk tampil kehadapan dengan penuh keyakinan tanpa rasa malu
  • Kewibawaan TPHEP yang selalu turun padang serta menyokong segala aktiviti rohani dan warden asrama yang tidak jemu menasihati pelajar serta membangunkan pelajar untuk solat Subuh berjemaah dengan menggunakan hon motosikal dan siren
  • Amalan doa Dhuha dan doa Rabitah dalam kalangan pelajar
  • Semangat perkongsian ilmu kepada rakan dan mentoring dalam kalangan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan
  • Mendahulukan jemaah daripada persendirian
  • Jadual waktu sekolah yang sistematik serta tidak membebankan pelajar
Ana ingin menamatkan coretan ini dengan satu ayat yakni, Surah Muhammad, ayat 7:
Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Ayat ini amat berkait rapat dengan segala kecemerlangan dan kejayaan yang telah dicapai di Bumi Tarbiyyah MRSM Tun Ghafar Baba ini. Resipi yang sebenar ialah bergantung kepada pegangan dan pelaksanaan syariat Islam oleh pelajar itu sendiri. Sejujurnya ana mengatakan bahawa pelajar di maktab kami amat mementingkan Ad-Din dalam segenap aspek kehidupan. Kesimpulan yang dapat disimpulkan oleh ana, ajaran agama didahulukan, pencapaian akademik diutamakan.
Maafkan ana jika terkasar bahasa dan mohon perbetulkan jika ada silap dan salah dalam kajian ana serta perkongsian ilmu yang diberi. Sesungguhnya, ana jauh masih jahil lagi. Sekian dan salam ukhuwwah fillah daripada ana. Wallahu’alam Bisawwab. Assalamu’alaikum wbt.
Terima Kasih Anak Didikku...

Atrisya semoga Allah Merahmati perjuanganmu.. 

Ahad, 21 April 2013

Pengurusan Stres Dari Perspektif Islam Dan Psikologi


1.       Muqaddimah

Firman Allah

 Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

(Surah al Mulk : ayat 2)

Sabda Rasulullah SAW :

عجبا  لأمر المؤمن إن أمره كله له خير فإن أصابته سرآء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضرآء فكان خيرا له

(Riwayat Muslim)

2.      Definisi Stres

Merupakan tindak balas dari minda dan fizikal terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di persekitaran individu.

3.      Stres Dan Kehidupan

·         Stres merupakan suatu fakta dalam kehidupan harian yang tidak boleh dihindarkan.

·         Tidak semua stres berbahaya, dalam kadar tertentu stres boleh meningkatkan motivasi, penampilan, belajar mengatasi masalah dan menjadi matang.

·         Stres yang berlebihan boleh merosakkan kesihatan fizikal dan mental.


4.      Jenis-jenis Stres

§  Stres Fizikal         : diakibatkan oleh kuasa luaran seperti membawa barang berat, panas dan sebagainya.

§  Stres Biologikal    : dahaga, lapar, perubahan fisiologikal akibat kecederaan atau penyakit.

§  Stres Psikologikal : tindak balas terhadap ancaman, harga diri, banyak hutang dan sebagainya


5.      Punca Stres


§  Dalam Diri Sendiri      : harapan, keperibadian, pengalaman yang traumatik semasa kecil, dan lain-lain pengalaman.

§  Tekanan Sosial                        : masalah perhubungan, tekanan dari kehidupan bandar atau kampung.

§  Tekanan Pekerjaan      : jenis pekerjaan, risiko atau tanggungjawab pekerjaan, keadaan fizikal kerja, organisasi, peranan atau tugas, perkembangan kerjaya dan komunikasi yang tidak berkesan.


6.      Punca Stres

Menurut pandangan Islam punca stress itu bukan dari tekanan mental semata-mata bahkan berpunca dari kecelaruan dan kelemahan hati. Ruh, nafsu dan akal.

7.      Kelemahan Hati

Kelemahan hati yang menyebabkan rapuhnya hubungan individu itu dengan Allah SWT menyebabkan kehidupannya menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap inci masalah. Hati yang baik mempunyai unsur yang sangat halus (Latifah) ketuhanan (Rabbaniah) dan kerohanian (Ruhaniah).

            Firman Allah SWT :

   
 Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, Maka Sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".

(Surah Toha : 124)

8.        Kelemahan Ruh


·         Ruh menghidupkan jasad atau badan maka kekuatan ruh itu dinilai dari sudut mengenali Allah SWT.

·         Semakin ia kenal Allah, semakin kuat dan mantap ruh itu.

·         Jika tidak, jadilah ruh itu ruh yang lemah yang mudah diganggu dan diresapi oleh Iblis dan Syaitan.


9.        Kelemahan Nafs


·         Al-Iman Al-Ghazali, memberi pengertian al-Nafs itu sebagai satu unsur yang halus yang mana dialah hakikat manusia. Ia mempunyai bermacam-macam-macam sifat dan bermacam-macam-macam keadaan.

·         Apabila keinginan negatif dan keburukan menguasai hati itulah yang dikatakan nafs lawwamah atau nafs Ammaratum Bissu’.

·         Apabila ketenangan, ketenteraman dan kejernihan menyelubungi hati itu, maka itulah yang disebut oleh Allah SWT dengan nafsul Mutma’innah.

Firman Allah SWT :



Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah  ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, Masuklah ke dalam syurga-Ku.

10.     Kelemahan Akal


·         Imam Al-Ghazali telah memberikan makna akal iaitu sesuatu yang memperoleh ilmu atau wadah pengetahuan.

·         Kelemahan akal berpunca dari kejahilan atau sedikit ilmu seseorang.

·         Para hukama’ mengandaikan ilmu itu adalah makanan bagi akal, tanpa ilmu, akal akan mati, akal yang mati tidak akan berfungsi dengan baik.

·          

11.     Gangguan Akibat Stress


·         Keresahan

·         Masalah tidur

·         Marah dan bersikap agresif

·         Penyalahgunaan bahan terlarang dan tingkah laku berisiko

·         Negatif terhadap keluarga

·         Negatif di tempat kerja

·         Gangguan mental yang kuat

·         Perasaan murung


12.     Isu-isu stress GPI


a)        Peribadi Dan Personaliti

ü  Kesediaan GPI untuk menjadi seorang murabbi, mualim, muaddib

ü  Kualiti GPI dalam menjadikan taqwa sebagai asas kepada segala tindakan hidupnya

ü  Menjaga dan mengawal maruah dan status diri sebagai ‘orang agama’

ü  Mengekalkan status dan cara hidup diri dan keluarga sebagai model kepada pihak lain

ü  Komunikasi yang kurang / tidak berkesan

ü  Tidak memiliki ilmu yang mantap, luas dan mendalam khususnya dalam mata pelajaran yang terlibat

ü   

b)       Tanggungjawab Di Tempat Kerja


Ø  Cabaran dalam bidang tugas yang semakin meningkat

Ø  Menerima tugas mendidik yang diserahkan sepenuhnya oleh sebahagian ibu bapa / penjaga

Ø  Sikap sebilangan guru yang kurang profesional dalam menjalankan tugas

Ø  Suasana kerja yang mendedahkan kepada ‘burn-out’disebabkan oleh keletihan emosi, gangguan peribadi dan pencapaian peribadi

Ø  Perlu menerima perubahan berkaitan dasar dan fokus dalam pendidikan seperti digariskan pihak MARA

Ø  Berhadapan dengan pelajar tidak berminat untuk belajar sebaliknya bidang lain yang berorientasikan Sains dan Matematik

Ø  Pengaruh budaya asing yang meninggalkan kesan negatif melalui bidang informasi dan teknologi maklumat

Ø  Nilai-nilai agama yang semakin diketepikan kerana kesenangan yang dinikmati menyebabkan generasi muda leka

Ø  Pengetahuan asas dalam bidang agama yang lemah sehingga pelajar tidak mampu mengikuti P&P

Ø  Penggunaan tulisan jawi dalam buku teks yang membataskan penglibatan pelajar

Ø  Perkembangan ICT yang terlalu pantas menyebabkan ada guru yang tertinggal

Ø  Perbezaan psiko-sosio di antara guru dan pelajar

Ø  Bahan bantu mengajar yang tidak dapat memberi perhatian / kawalan sewaktu P&P

Ø  Penguasaan ilmu di kalangan guru yang tidak mantap

Ø  Tempoh waktu mengajar yang tidak mencukupi

Ø  Guru gagal menjadi role-model kepada pelajar

Ø  Kurangnya motivasi dalaman (intrinsik) guru

Ø  Strategi P&P yang tidak sesuai dengan perkembangan semasa

Ø  Kaedah pengajaran yang pasif / tidak inovatif serta terlalu terikat dengan tradisi lama

C) Peranan Dalam Masyarakat

*       Pertentangan di antara nilai keluarga dan masyarakat dengan sistem nilai pendidikan Islam

*       Kelonggaran fungsi dan peranan keluarga dalam mendidik generasi pelajar

*       Fahaman liberalisme di kalangan segolongan ibu-bapa yang mengabaikan kepentingan pendidikan agama Islam

*       Kefahaman sempit terhadap Islam sehingga melihat ia sekadar persoalan ‘ibadat khusus’sahaja

*       Kompleksiti masyarakat global tanpa sempadan yang menjurus kepada keduniaan / kebendaan

*       Pendidikan yang terlalu memberi penekanan kepada peperiksaan serta menumpukan aspek kognitif (kurang dari aspek afektif & psikomotor)


13.     Strategi Menangani Stress


A.      Tadabbur Al Quran

Membaca, memahami, mendalami, menghayati isi kandungan al-Quran berupaya menenangkan dan menenteramkan fikiran, hati, rohani dan jasmani.


B.       Taqarrub

Mendekatkan diri kepada Allah, mengenali dan mencintainya labih daripada segala-galanya sehingga lahir rasa kehambaan sejati dalam diri melalui amal ibadah secara istiqamah :

*       Qiamullail

*       Istighfar dan taubat

*       Zikrullah dll

Firman Allah SWT :


(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.


C.       Syukur Dan Ikhlas


Berterima kasih kepada Allah dan jangan sekali kali mencari balasan atau mengaharapkan ucapan terima kasih dari orang lain.


Firman Allah SWT :



Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.


(Surah Al-Insan : 9)


D.      Tawakkal

Berserah diri dengan menyerahkan natijah semua perkara kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya serta percaya yakin kepada segala janjiNya.

Unsur penting dalam Tawakkal :

·         Menyedari bahawa Allah memberi rezeki, kekuatan, keinginan dan tubuh badan yang sihat untuk berusaha.

·         Menyedari bahawa segala perbuatan, tindakan, hakikat sebenarnya adalah kehendak Allah.


E.      Pengisian Ilmu


·         Kemahiran kaunselor : aspek komunikasi, pembelajaran teraputik

·         Penguasaan ilmu yang luas dan mendalam

·         Mengusai kaedah dan teknik pengajaran yang pelbagai

·         Kemahiran khusus dalam bidang Pendidikan Islam

·         Memantapkan personaliti dan profesionalisme guru


14.     Kemahiran Mengurus Stress


a.        Menyedari adanya stress dalam diri

b.       Memiliki kemahiran menyelesaikan masalah :

·         Kenal pasti masalah

·         Paparkan masalah

·         Cari maklumat

·         Analisis maklumat

·         Cari alternatif

·         Nilai alternatif

·         Bentuk rangka tindakan

·         Bertindak

·         Buat penilaian


15.     Tips Mengendali Stress


a.        Tunggu situasi tenang semula

b.       Berbincang dengan pihak berkenaan

c.        Akui adanya konflik

d.       Semua pihak memahami keadaan

e.        Gunakan perkataan ‘saya’

f.         Akui perasaan masing-masing

g.        Elakkan membesarkan isu

h.       Dapatkan persetujuan bersama jika ada masalah


16.     Cara Sihat Mengurangkan Stress


·         Dapatkan pengiktirafan atas kemahiran dan sumbangan

·         Dapat mengawal tanggungjawab kerja

·         Dapat berinteraksi secara berkesan dengan pihak lain

·         Melibatkan diri dalam kerja-kerja yang bermakna

·         Mencapai prestasi kerja yang diharapkan

·         Mempunyai rasa berguna dan bermaruah

·         Bersikap positif-toleransi, bertenaga dan penuh minat

·         Mempunyai rasa membina diri

·         Berkeupayaan mengimbangi tanggungjawab terhadap kerja dengan keperluan lain


17.     Belajar Mengawal Kemarahan


ü  Tarik nafas panjang

ü  Tenangkan diri

ü  Beristighfar dan berdoa

ü  Beredar dari tempat berkenaan

ü  Bicara diri secara positif

ü  Lihat situasi dengan positif

ü  Minta bantuan jika tidak mampu

ü  Mengambil wuduk


18.      Faedah Mengawal Kemarahan


Ø  Kurangkan perasaan duka, kecewa dan derita

Ø  Elakkan salah faham

Ø  Kukuhkan perhubungan

Ø  Tingkatkan taraf harga diri

Ø  Tingkatkan produktiviti kerja


19.     Kawal Stress Melalui Teknik Relaksasi


v  Sesuatu keadaan di mana pergerakan anggota tubuh dihentikan secara sedar. Ini dilakukan dengan melibatkan pergerakan otot-otot di tubuh badan. Minda pula memberikan tumpuan kepada sensasi tubuh.

v  Cara ini membolehkan mengurangkan masalah fizikal akibat dari rasa tertekan seperti gangguan tidur, sakit kepala dan tekanan darah tinggi.

v  Bila fikiran terganggu, kita merasa cemas dan mengalami ketegangan fizikal, keupayaan minda kita untuk menumpukan perhatian kepada keadaan semasa boleh mewujudkan ketegangan. Kita boleh mulakan dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada apa juga aktiviti yang sedang dijalankan.

v  Gunakan semua pancaindera untuk menikmati saat itu. Semakin mendalam tumpuan kita, maka semakin jauh sesuatu masalah itu meninggalkan fikiran kita. Cara ini amat berkesan untuk menghilangkan perasaan tidak tenteram, lebih-lebih lagi bila diamalkan bersama dengan senaman relaksasi.


20.     Kawal Stress Melalui Teknik Pernafasan

·         Tegangkan otot-otot dan tarik nafas sedalam-dalamnya

·         Amati ketegangan otot anda dan tahan pernafasan selama 4 hingga 8 saat

·         Relaksasi otot-otot anda secara serentak dan serta-merta

·         Amati perbezaan perasaan relaksasi tersebut, teruskan relaksasi tersebut selama 30 hingga 60 saat


21.     Pemikiran Positif


·         Definisi;

Merupakan kebolehan melihat sesuatu situasi dari sudut yang positif walaupun nampak keadaan sebenarnya adalah negatif.

22.     Kawal Stress Melalui Teknik Pemikiran Positif


·         Membolehkan kita menangani sesuatu situasi untuk mencapai hasil yang positif

·         Dapat meningkatkan harga diri

·         Berfikiran positif dan menjauhkan fikiran negatif sebagai suatu strategi daya tindak yang baik dalam menangani tekanan dengan lebih berkesan


23.     Strategi Pemikiran Positif Mengubah Cara Berfikir


a.        Positif      >    Perasaan Positif      >             Tindakan Positif    = Hasilnya Positif

b.       Masalah dijadikan isu, isu dijadikan cabaran dan cabaran dijadikan peluang

c.        Berbicara dalam diri yang positif ;

                         Contoh :

                         Saya boleh ... bukannya ... saya tidak boleh

                         Saya penyayang dan mudah disayangi ... bukannya tiada siapa yang sayangkan saya.

                         Saya boleh jadi johan ... bukannya ... saya selalu tidak berjaya

24.     Kawal Stress Melalui Teknik Asertif


a)        Definisi;


Merupakan keupayaan untuk berterus terang bagi menyatakan perasaan, keperluan dan buah fikiran. Di masa yang sama menghormati keperluan dan perasaan orang lain.


b)       Konsep-konsep Asertif


·         Membuat keputusan sendiri dalam sesuatu situasi

·         Berupaya mengawal diri dan bertanggungjawab untuk diri sendiri

·         Sedia mendengar dan memahami perasaan, keperluan dan kedudukan orang lain


c)        Ciri-Ciri Individu Yang Asertif


·       Menyatakan pendapat, perasaan dan kemahuan sendiri

·       Faham yang ia berhak untuk menyuarakan perasaan

·       Berterus terang, jujur dan berhati-hati

·       Menghormati perasaan orang lain


d)       Kebaikan Bersikap Asertif


·         Peluang menyatakan hak

·         Membangkitkan kesejahteraan

·         Meningkatkan harga diri dan keyakinan

·         Menggalakkan orang lain mengambil bahagian

·         Menyatakan buah fikiran dengan nyata dan berkesan

·         Berupaya untuk menyatakan ‘TIDAK’ tanpa rasa bersalah

·         Merasa bangga dengan diri sendiri

·         Meningkatkan perhubungan dengan orang lain

·         Melahirkan perasaan ‘TIDAK BERSETUJU’tanpa rasa marah

·         Minta pertolongan bila memerlukan

·         Mendapat banyak penghormatan dari orang lain

·         Membolehkan kita menggunakan hak kita tanpa menjejaskan hak orang lain

·         Meningkatkan kesejahteraan

·         Meningkatkan keyakinan dan harga diri

·         Mengelakkan orang lain dari mengambil kesempatan


25.     Renungan

Jika anda menghadapi masalah hubungan dengan manusia, cuba nilai semula hubungan anda dengan Allah SWT.

26.     Penutup

Stress atau tekanan adalah merupakan fitrah hidup manusia, setiap tekanan yang datang adalah ujian dari Allah bagi meningkatkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah. Islam menetapkan setiap manusia akan diuji bagi memilih calon terbaik bagi mendiami syurga Allah yang menjadi idaman semua orang. Wallahu a’lamu bissawab.